AKADEMIK REMAJA KRIM GEGARKAN CUTI SEKOLAH REMAJA

SELANDAR:  Hampir 200 orang peserta yang telah menyertai perkhemahan The FINALE Akademi Remaja KRIM di Sedanan Outdoor Camp, Melaka telah dilantik menjadi duta ARK.

12241043_1148072948567564_1011694367153611486_o

Sebahagian peserta lelaki Akademik Remaja KRIM

12291771_1148073171900875_8273932589862553962_o

Sebahagian peserta perempuan Akademik Remaja KRIM

Menurut ucapan Pengarah KRIM Nasional dalam majlis penutupan program tersebut, beliau berkata, semua peserta yang menghadiri perkhemahan kali ini telah membuat pilihan yang bijak bagi mengisi masa cuti sekolah mereka. Selain itu, beliau juga berbesar hati untuk melantik semua peserta untuk menjadi Duta ARK dan seterusnya menjadi ikon remaja.

Perkhemahan The FINALE ARK adalah merupakan siri kemuncak Akademi Remaja Krim yang telah berlangsung selama enam bulan di peringkat negeri dan cawangan bermula Jun lepas. Perkhemahan kali ini telah berjaya mengumpulkan hampir 200 orang peserta yang mewakili lapan negeri. Perkhemahan yang berkonsepkan pertandingan peringkat kebangsaan ini mempertandingkan beberapa kategori seperti  MyBakat, Aktiviti Lasak dan sebagainya.

12265884_1148073111900881_6203216235514369070_o.jpg

Kontinjen dari Perak telah dinobatkan sebagai pasukan muslimin terbaik keseluruhan manakala kontinjen dari Selangor mengungguli pasukan muslimah terbaik keseluruhan. Program ARK yang mensasarkan penyertaan pelajar tingkatan empat akan diteruskan lagi bagi siri kedua bermula Jun 2016 .

Remaja dan Dadah

photo_2015-08-01_23-22-24

Dadah merupakan sejenis bahan kimia tiruan atau asli, apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu atau dimakan boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental (Agensisi Dadah Kebangsaan, 2008). Dadah yang mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf pusat (otak dan saraf tulang) boleh mendatangkan kesan-kesan buruk dan bahaya ke atas diri individu serta mengakibatkan masalah-masalah kesihatan seperti gangguan mental dan fizikal, ketagihan dan sering bergantung terhadapnya untuk terus hidup. Pada hari ini, kita telah digemparkan dengan satu lagi berita yang menyatakan bahawa pengedar dadah mensasarkan pelajar sekolah agama sebagai pasaran baru untuk mereka. Berita mengenai dadah dan remaja bukan berita baru buat para ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja malah statistik peningkatan kegiatan ini meningkat dari tahun ke tahun. Persoalannya, apakah solusi terbaik untuk membendung kegiatan tidak sihat yang sentiasa menjalar dalam kalangan remaja dengan sifat sinonimnya yang suka mencuba sesuatu perkara baru?.

Jika melihat statistik yang dikesan dari bulan Januari hingga bulan Mac 2013, data yang diberikan oleh pegawai Agensi Dadah Kebangsaan telah menunjukkan bahawa penyebab utama remaja terlibat dengan masalah penagihan dadah termasuk syabu adalah melalui pengaruh rakan dengan peratusannya berjumlah 41.97% diikuti 19.44% disebabkan oleh perasaan ingin tahu dan 17.95% hanya tujuan untuk keseronokan. Rata-rata anak remaja sangat dipengaruhi oleh rakan sebaya dan antara solusi bagi masalah utama ini adalah

1) Ibu bapa memberi pendidikan agama kepada anak-anak sedari kecil.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Begitulah kata-kata pepatah yang sering kedengaran bagi membentuk generasi-Y ini. Mendidik anak-anak pada masa ini bukan suatu tugas yang mudah lebih-lebih lagi apabila mereka senang mencari dan mengakses pelbagai maklumat yang kini berada dihujung jari mereka. Peranan media seperti twitter, facebook, wechat, instagram, dan lain-lain banyak mempengaruhi anak-anak samaada menggunakannya secara sihat ataupun tidak. Pendidikan agama sangat penting bagi membentuk sahsiah anak-anak agar mampu membezakan antara perkara buruk dan baik serta menjadi senjata dan pembimbing dalam menuju kedewasaan.

2) Mengenali siapa rakan anak-anak anda.

Terdapat empat peringkat dalam mendidik anak-anak  yang dianjurkan oleh rasulullah iaitu antara umur 0-6 tahun, 7-14 tahun, 15-21 tahun, dan 21 tahun keatas. Fasa bagi umur antara 15-21 tahun merupakan fasa peringkat ketiga remaja yang penuh sikap memberontak dan perlu diberi perhatian lebih oleh ibubapa kerana umur sebegini adalah waktu remaja mula mencari identiti diri. Bagi statistik kanak-kanak terlibat dengan jenayah 2013 yang diperolehi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pula adalah bermula dari umur antara 10-21 tahun dan penyumbang terbesar jenayah ini adalah daripada kelompok remaja yang berusia 16 dan 17 tahun dengan jumlah 4095 orang daripada 5549 jumlah orang keseluruhannya. Mengenali dengan siapa anak-anak berkawan merupakan satu inisiatif baik daripada ibubapa untuk mengawal pergerakan anak-anak agar tidak terlalu bebas bergaul dengan rakan-rakan yang tiada hala tuju dalam kehidupannya.

3) Menghantar anak-anak ke Program Pembentukan Remaja.

Antara Kelab Remaja yang memberi pengisian berbentuk fizikal dan rohani anak-anak adalah melalui Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) yang kini mempunyai 23 cawangan berdaftar diseluruh Malaysia. Kelab remaja yang mempunyai visi sebagai pusat pembangunan potensi remaja dan misi bagi melahirkan generasi remaja yang mempunyai nilai-nilai motivasi, iltizam dan jati diri unggul ini sangat mementingkan agenda remaja dari hari ke hari. Susunan organisasi dan susunan program yang tersusun sangat memberi impak kepada anak-anak yang menyertainya secara berkala dan berterusan. Moga usaha kecil ibubapa menghantar anak-anak ke program-program pembentukan keperibadian remaja dapat melahirkan generasi yang bijak menangkis anasir-anasir luar yang semakin hari semakin mencairkan jati diri anak muda abad ini.

4) Menjadikan anak-anak sebagai teman rapat

Ibubapa sebagai pemimpin organisasi keluarga perlu meluangkan masa sedikit untuk bersama anak-anak agar mereka masih merasakan bahawa ada orang yang disayangi bersamanya. Kesibukan ibubapa dengan kerja-kerja dunia sering kali menyebabkan masalah kecil anak-anak diabaikan. Jadilah ibubapa sebagai seorang pendengar setia setiap permasalahan dan perkongsian apa sahaja cerita daripada anak-anak terutama remaja yang meningkat dewasa. Luangkan masa dengan berkongsi cerita mengenai perjuangan sahabat-sahabat rasulullah terdahulu, perkembangan isu semasa, perkongsian hobi-hobi baru dan sebagainya agar anak-anak sentiasa merasa dekat dengan ibubapa serta keluarganya sendiri.

Terdapat banyak lagi faktor dan solusi yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak dalam membina mercu kejayaan anak muda sekarang ini. Anak muda yang menjadi aset agama,bangsa dan negara pada masa hadapan perlu dibentuk seawal usia agar mampu menjauhikan diri dari dunia remaja yang sia-sia.

Ahli Jawatankuasa KRIMDHL,

Nur Fathin Nabilah Abdul Ghaffar

BADAR DORONG REMAJA MEMPERSIAPKAN KEKUATAN UMMAH

copy-banner-krim-web1

BANGI, 11 JULAI 2014 “Kita hendaklah mempersiapkan rijal dan seluruh kekuatan bagi menghadapi ancaman musuh yang menyerang dari semua penjuru” memetik ucaptama daripada YDP ISMA Daerah Hulu Langat, Saudara Mohd Azib bin Asmangi ketika merasmikan majlis penutup program BADAR di sini. Peserta turut menghayati ibrah melalui satu peristiwa penting yang berlaku di dalam bulan Ramadhan iaitu peristiwa peperangan Ain Jalut yang melibatkan Kerajaan Mamluk Mesir dan tentera Monggol. Peristiwa ini berlaku pada 25 Ramadhan tahun 658 H di Ain Jalut dan Bisan, Palestin.

Program Bangkit Amal Di Akhir Ramadhan (BADAR) bertempat di Masjid As-Solihin, Teras Jernang, Bangi yang dianjurkan Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Hulu Langat adalah aktiviti yang berkonsepkan ibadah mengejar ganjaran di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Antara pengisian program ini adalah iftar, terawikh berjemaah, tadarus, qiamulail dan sahur.

11169168_1083223925052467_3581077671080462551_n        11745794_1083223885052471_203539636174118639_n

Di samping itu, program BADAR turut menyelitkan aktiviti yang menambah rencah dan kelainan dalam program Ramadhan tahun ini seperti rehlah masyi, kafilah dakwah, majlis khatam Quran dan kuiz Ramadhan.

11665368_1083223908385802_6470434140532523707_n

Program ini juga berjaya menggerakkan peserta untuk mengesani masyarakat melalui aktiviti Kafilah Dakwah di bazar Ramadhan. Peserta bukan sahaja mampu mempertingkatkan kemahiran asas yang perlu dimiliki seorang remaja bagi mendepani cabaran dunia pada masa akan datang, akan tetapi membina kemahiran berkomunikasi dan bersosial dalam menebarkan kebaikan kepada masyarakat umum. Kafilah dakwah yang dilakukan  telah berjaya mempromosikan Kelab remaja ISMA dalam kalangan masyarakat sehingga menarik minat sejumlah remaja luar untuk menjadi ahli Kelab Remaja ISMA.

11698628_1083103645064495_8599019994664736382_n        11698565_1083103615064498_8059777792790196746_n

Program ini berjaya mendapat respon positif daripada 48 orang pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dari beberapa buah sekolah di sekitar Bandar Baru Bangi ini. “Selepas mengikuti program ini, saya bersemangat untuk mengejar target Ramadhan saya iaitu khatam Quran” ujar Nur Faezreen binti Mohammed Zuber,16 dari Kolej Vokasional Sepang. Rakannya, Eldamia Yusriyanis binti Riyandra,16 dari SMK Bandar Seri Putra pula tidak sabar menantikan program Akademi Remaja KRIM (ARK) seterusnya.

Akademi Remaja KRIM (ARK) adalah pakej  program yang menawarkan lapan modul menarik seperti Ramadhan Outreach, BADAR, Zero to Hero, My Bakat, Belajar Power, Fit N Fun, KASRIM dan The Finale (Kemuncak ARK).  Melalui pakej ARK, peserta bakal dibimbing oleh mentor yang hebat dan berpengalaman dengan banyaran hanya RM150 sahaja untuk 6 bulan ledakan impak maksima. Program ini berfokus kepada peserta berusia 16 tahun sekitar Bandar Baru Bangi. Untuk pendaftaran, hubungi Kak Hafizah, 0138984721.

MARINI HASSIM

KRIM Daerah Hulu Langat.

Allahu Akram

ramadan_kareem_____by_omarmk

Allahu Akram. Allah lebih mulia.

Alhamdulillah. Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk berada dalam bulan mulia ini. Berapa ramai rakan sebaya yang tidak sempat untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan tahun ini dan berapa ramai yang telah bertemu dengan Allah sepanjang bulan ini?.

“ Bro, aku ada satu berita ”
“ Apa dia?”
“ Ustaz yang jadi imam terawih semalam meninggal dunia selepas solat asar tadi. Tak sempat mengimamkan kita lagi malam ni”

“inna lillahi wa inna ilayhi raji’un”

Begitulah antara perbualan yang sempat dirakamkan dicuping telinga pada Ramadan ke 3 baru-baru ini. Sungguh, rezeki hamba Allah bertemu denganNya pada bulan mulia ini dan agak-agaknya bagaimana pengakhiran hidup kita nanti? Adakah sebagai seorang remaja muslim yang berat timbangan amalnya atau remaja yang penuh dengan maksiat dan angan-angan.

Allahu Akram. Allah lebih mulia.

Pejam celik ,pejam celik..masa berlalu dengan sangat pantas. Kita telah pun memasuki fasa kedua Ramadan iaitu di pertengahan bulan yang sememangnya akan berlalu juga seperti tahun-tahun sebelum ini. Bagaimana iman kita pada ketika ini? Bagaimana pula keadaan rohani, jasmani dan akhlak sepanjang 10 hari berpuasa? Bagaimana semakan senarai ramadan yang telah di”print” dan ditampal di dinding-dinding rumah,? masih beroperasikah tangan kita untuk menandakan usaha setiap amal dikertas itu atau hanya ditanda penuh pada Ramadan pertama sahaja?

Kita masih ada beberapa hari untuk menghabiskan sisa baki Ramadan dengan sebaiknya. Marilah adik-adik remaja menjadikan ibadah puasa ini sebagai penyerahan diri dengan sempurna kepada Allah dan melatih diri untuk melawan nafsu. Remaja mukmin yang sanggup berlapar dan bertahan ketika ujian mendatang adalah mereka yang tidak mudah berputus asa jika dihadapkan dengan cabaran dan ujianNya. Moga Allah memberikan kekuatan buat adik-adik yang ingin berhijrah dengan menjadikan bulan Ramadan ini sebagai tiitk perubahan untuk menjadi remaja muslim yang bermanfaat terhadap ummah.

Allahu Akram. Allah lebih mulia.

Antara ikhtibar sepanjang bulan mulia yang memberi pengajaran buat remaja hari ini adalah melalui satu peristiwa pertempuran yang berlaku pada 17 Ramadan. Peperangan yang menjadi titik tolak umat islam sebagai  umat yang dihormati boleh dijadikan ikhtibar kepada generasi muda yang masih merasa izzah terhadap islam dengan meneruskan langkah pimpinan hari ini pada masa hadapan kelak. Peperangan badar yang merupakan suatu penentangan kaum Quraisy yang menentang Allah dan RasulNya dapat dilihat dalam permainan kuasa-kuasa besar dalam menjauhkan kehidupan remaja ini dengan ideologi sesat yang mengelirukan. Dunia islam sangat memerlukan kader-kader remaja yang sangat sensitif terhadap isu-isu umat yang semakin hari semakin tidak mendapat tepat pada jiwa pemuda hari ini.

Moga Ramadan yang berbaki ini dapat mengembalikan semula remaja kepada petunjuk Allah dalam membangunkan diri dan rakan-rakan sebaya diseluruh pelusuk dunia daripada terus lena tanpa mempedulikan apa yang berlaku disekeliling mereka,

NUR FATHIN NABILAH

AHLI JAWATANKUASA KRIMDHL

Beginilah realiti remaja pada hari ini. Disebabkan ketiadaan agenda dalam diri seorang remaja dengan terikut-ikut gaya hidup bebas menyebabkan masalah anak muda belasan tahun ini berkembang dengan aktiviti yang tidak sihat seperti punk, gothic, skinhead, zina, kaki gaduh, penyalahgunaan telefon bimbit, hidu gam, pronografi, onani, pub, buli, dadah, minum arak dan sebagainya.

Isu penyalahgunaan telefon bimbit yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja juga amat membimbangkan terutama apabila mereka merasa bangga membuka aib sendiri dengan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan di dunia alam maya. Jika dilihat, sifat malu pada diri anak muda semakin hari semakin terhakis ditelan zaman. Bermula dengan teguran secara bersahaja seterusnya membawa kepada satu perkenalan yang mengikat hati antara berlainan jantina dan akhirnya membawa anak remaja ini ke kancah zina tanpa disedari.

Kelab Remaja ISMA (KRIMDHL) sangat memandang berat terhadap isu penyalahgunaan telefon bimbit yang akhirnya mendatangkan kesan negatif kepada masa depan remaja. Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam mendekati para remaja dengan nilai-nilai murni dan nasihat-nasihat yang membina. Ibubapa perlu menitikberatkan perkembangan anak-anak dengan mengetahui siapa kenalan rapatnya, apa yang dilakukannya, apa rutin harian, apa aktiviti diluar rumah, apa yang ada dalam telefon bimbit anak-anak dan sebagainya.

Ibubapa yang terikut-ikut trend budaya barat, dunia glamor dan hiburan tanpa batas juga merupakan faktor remaja dengan senang terdedah kepada aktiviti sosial secara bebas. Dalam perkembangan dunia perhubungan hujung jari ini, anak muda sangat memerlukan pendidikan agama dan penghayatan Al-Quran dengan baik agar pegangan mereka terhadap agama menjadi kuat dan secara tidak langsung memiliki kekentalan iman dan akidah yang tidak mudah goyah apabila menerima godaan-godaan duniawi yang bersifat sementara. Moga kunci ini dapat membina anak-anak remaja ke mercu kejayaan sebenar seorang muslim

hanan2
photo_2015-06-11_00-17-44

NUR FATHIN NABILAH BINTI ABDUL GHAFFAR

AHLI JAWATANKUASA KRIMDHL

Merujuk kepada video yang disiarkan Pen MerahDot.com, Kelab Remaja ISMA (KRIM) DHL berasa terpanggil untuk bersuara dan mengulas akan isu ini.

Banyak faktor yang menyebabkan remaja hari ini bersikap kasar, ganas dan bertindak agresif serta terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat. Pengaruh media massa, kegagalan institusi rumahtangga, kesilapan pemilihan rakan sebaya, serta kurang didikan agama menjadi punca utama kegagalan remaja hari ini.

KRIM DHL berasa gusar dan bimbang melihat keadaan remaja hari ini yang tidak berasa salah atau takut bila terlibat atau mengatakan sesuatu yang salah. Seolah-olah ia telah menjadi normal dalam kehidupan mereka. Perkataan ‘Babi’, ‘sial’, ejek nama ‘bapa’, seolah-olah perkataan biasa yang dihamburkan apabila marah, melihatkan kepada kita semua nafsu dan emosi telah menguasai diri, menjadi raja menggantikan hati.

Disini, KRIM DHL senaraikan beberapa tips yang boleh dijalankan ibu bapa dan remaja, supaya ia mampu memberi perubahan positif dalam kelakuan seharian kita. Antaranya :

1. Kurangkan menonton filem atau cerita berunsur aksi, keganasan, yang menjadikan pergaduhan sebagai solusi penyelesaian masalah
2. Ibu bapa perlu memantau pergerakkan anak-anak, kawan-kawan anak.
3. Remaja perlu diajar dan dididik dengan akhlak Islam yang bersikap sabar dan tabah dalam menghadapi apa saja ujian. Bukan dengan melepaskan geram.
4. Buat sekatan penggunaan media sosial (whatsapp, facebook) anak-anak berkala.
5. Ibu bapa perlu menguatkan kembali institusi kekeluargaan dan mengatur rumahtangga dengan baik dan tersusun.

Penting untuk kita prihatin terhadap remaja hari ini, kerana mereka ini adalah sumber tenaga bagi masa hadapan. Jika remaja hari ini telah rosak akhlak dan saksiahnya, di mana lagi ingin kita letak harapan memimpin Malaysia?

Kepada bangsa lain kah? atau orang luar?

11219695_1066996690008524_7291419354589484613_n

Petunjuk Sehelai Hijab

img608edit1

“ Entah apa-apa la budak perempuan pakai tudung ni. Dahlah bertepuk tampar dengan member lelaki. Pastu tudung singkat dengan seluar ketat. Takde rasa malu ke? “, getus hatiku ketika duduk menunggu “turn” solat zohor di atas kerusi hadapan sebuah bilik kecil.

“ Weh Amir, jangan lupa tau sabtu ni ”outing” dengan geng dekat MP (Mahkota Parade). Cerita wayang minggu ni hero aku berlakon. Tajuk cerita, “Akulah Encik Sotong abad ini” pukul 4.00 p.m!! “, jerit perempuan tadi memekik gegendang anak telinga aku

Di suatu sisi aku bermonolog dalam diri.

“ Tak rasa malu ke cakap dengan lelaki macamtu?. Ish, kalau aku..lebih baik aku dalam keadaan begini daripada menjadi seperti perempuan tadi.. Walaupun aku tidak bertudung, sekurang-kurangnya aku tidak meninggalkan solat, berpakaian longgar, hormat orang-orang tua dan tidak keluar dengan mana-mana lelaki. Alhamdulillah, Walaupun aku agak sosial dengan member yang “gila-gila” tetapi dengan lelaki, aku rasa seperti petir menyerang aku jika kawan dengan lelaki berlebih-lebihan.

……………………………………………………………………………………………………………………………………..

“ Bella lepas ni “turn” kau masuk padang. Dah sediakan IC belum? Jangan depa kata kau kategori bawah umur sudah.. Ingat!! Kau dah kategori 18 tahun ye”, tanya Fasihah rakan sukan aku.

“ Hahaha.. lawak la pakcik tu. Bukan tahun ni je aku ikut kejohanan ni. Takkan tak cam lagi kot”, jawabku sambil membetul semula ikatan rambut dan mengetatkan tuala kecil sukan Adidas atas kepala.

“Dah muka kau macam budak-budak, kena la sabar ye”, gelak Fasihah sambil menghulurkan kasut spike kepada aku.

“ Hahaha, ok!. Doakan aku untuk emas kali ketiga ni. Mana tahu kalau-kalau dapat cipta rekod tahun ni. Cikgu Zali asyik dok cabar aku dari tadi. Tercabar pula aku.”, sambil menyambut kasut yang diberi dan berlalu pergi.

“ Ok Bella. Fikirkan Kau Boleh! Caiyok-caiyok”, jerit Fasihah.

.

.

.

“ Dik, macamana lagi berpagar tadi, apa cer?..Cipta rekod tak tadi? “, tanya kakak seniorku yang baru mencipta rekod 100 meter dengan mengekalkan kejuaraannya 3 tahun berturut-turut.

“ Alhamdulillah kak, Dapat Emas!. Tapi tak dapat cipta rekod”, jawabku.

“Oh, tak apa dik. Tahun depan usaha lagi, ok?. Kena ikut abang Kartik “training” selalu. Tiap-tiap hari dia tak skip “training”, tu yang tiap-tiap tahun dapat gelaran Olahragawan. Bangga akak tengok muka cikgu Zali tadi.” sambil membetulkan anak tudung yang kelihatan longgar di kepalanya.

“Cantik kakak ni”, getus hatiku.

Kakak ni cantik kerana tudung yang dipakai atas kepalanya menampakkan dia lain daripada peserta-peserta seksi atas “track” stadium. Walaupun bertudung, senior aku ni masih tetap dapat genggam kejuaraannya daripada dirampas oleh orang lain. Terdetik dihati aku untuk cuba mengenakan tudung. Tapi malu..

.

.

.

“ Selepas ini kita akan menyaksikan saringan akhir balapan peserta perempuan antara matrikulasi-matrikulasi seluruh negeri ”, suara urusetia kedengaran di suatu corong pembesar suara.

Sambil membetulkan tudung dan mengikatkannya di belakang leher, aku beristighfar dengan memasuki lorong ketiga yang beralaskan karpet oren dan dipisahkan dengan garisan putih yang pasti sering menggetarkan hati semua atlet-atlet yang bertanding ketika itu. Aku rasa semakin selesa dengan hijab yang ringkas ini, tidaklah rambut ni terbang macam ekor kuda masa berlari nanti..hehe
.

.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………..

“ Nisa, kau termenung apa tu?”

“ Oh tak. Nisa teringatkan kejadian siang tadi. Adik tadi baik sangat. Lemah lembut, akhlaknya pun baik. Baru Nisa jumpa tadi tapi perwatakannya menarik hati betul. Selamat adik lelaki nisa kecil-kecil lagi, kalau tak nisa dah terus jadikan adik ipar dah..huhu”, gelak kecil nisa.

“ Bella ni tak nak ke jadi ipar Nisa?”, usik aku.

“ Kalau tak ada orang cop Bella, Nisa dah cop dulu dah. Tapi Bella sanggup ke tunggu adik nisa..? 10 tahun. Lama tu…”, tanya nisa.

“ Ala nisa ni, Jarak umur Rasulullah dengan Siti Khadijah setahun dua tahun ke? Umur bukan penghalanglah..”, balas aku.

“ Huhu. Tak apa la. Nisa lambat tanya Nisa. Tak de rezeki.. Tapikan nisa, adik tadi tu…………”, termenung seketika.

“ Hah? Kenapa dengan adik tadi?. Nisa ni, jangan angau lebih-lebih..bahaya ni..”, kata aku mematikan lamunannya.
“ Tak adalah.. Nisa macam kesian sebab adik tadi cantik sangat tapi sayang sebab tidak berhijab. Hijabkan perintah Allah. Sayang bahagian itulah..”, Nisa balas pertanyaanku.

“ Nisa.. Bella ada sedikit cerita nak kongsikan pada nisa tapi lepas kita solat asar dulu.Boleh??”, tanyaku lagi.

“ Cerita apa?. Nak-nak.. Ok.. Jom kita solat dulu..”, balas Nisa dengan senyuman.

.

.

.

“ Bella, maafkan Nisa atas salah silap”, kata Nisa sambil melaga-lagakan pipi dengan aku selepas dia mengaminkan doa

“ Bella pun nak minta maaf pada nisa”, senyumku.

“ Bella nak cerita apa tadi?, sambil melipat-lipat kain sejadah.
Aku yang ketika itu ingin membuka telekung, membatalkan niat untuk terus membukanya. Bercerita dengan keadaan begini seolah-olah Allah sedang melihatku dan bersama-sama denganku ketika ini. Ya, dari dulu sehingga sekarang, ALLAH tempat pengaduanku.

“ Nisa, Bella nak tanya. Tahu tak apa itu Hidayah ALLAH??”

“Em…. Bella janganlah tanya soalan macamtu. Takut pula nisa. Hidayah Allah tu macam petunjuk Allah pada hamba-hambaNya?”

k

Aku senyum dan menarik nafas seketika.

“ Ya Nisa, Hidayah Allah adalah petunjuk Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih untuk melalui suatu jalan kebenaran dijalanNya. Hanya Allah yang dapat memberi taufik kepada hambaNYA supaya beriman kepadaNya dan Allah juga telah menyatakan pada kalamNya yang bermaksud..

“ Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki dan Dia lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk” (Al-Qashash : 56).

Hanya Allah yang mampu menghadirkan suatu rasa yang tidak kesemua orang dapat rasai dalam hati-hati yang dipilihNya.”, permulaan mukadimahku.

Nisa, berbalik kepada persoalan yang Nisa timbulkan mengenai adik yang tidak berhijab tadi, Bella ada suatu cerita mengenai seorang insan yang ingin dikongsikan.

“Insan ini adalah seorang wanita biasa tetapi masih tahu dimana batas pergaulannya dengan orang-orang yang bukan muhrim. Walaupun hidupnya sentiasa aktif dengan bidang yang terpaksa berkumpulan dengan jantina yang berlainan, dia tahu mana baik buruknya. Baginya, itu adalah cabaran dan dia sukakan cabaran itu. Adakah dia masih dengan dirinya atau seperti gula yang mudah cair apabila diletakkan ke dalam air panas iaitu hilang jati diri atau pendirian andai dicampakkan dimana-mana.. Beliau bukan seorang wanita yang mendapat pendidikan agama yang secukupnya dan pada masa yang sama tidak pernah menyalahkan ibubapanya atas kekurangan ini kerana baginya itu hanyalah ujian. Insan ini pernah diperlekehkan oleh sebilangan muslimah yang memperlinya kerana tidak berhijab dan pernah dipandang serong kerana bercampur dengan orang-orang yang buruk akhlak kerana pemakaian dan pergaulan yang terlalu bebas. Beliau sering berdiam diri ketika mana ramai yang menyuruh dirinya berhijab sehingga beliau terpanggil untuk menutupi kepalanya apabila seorang atlet senior telah membuktikan bahawa suatu kejayaan masih boleh diperolehi walaupun kita berhijab. Ketika insan ini berhijab, hanya kain yang menutupi kepalanya kerana tiada ilmu mengenai hijab secara sempurna mengikut islam.

Sebulan selepas mengenakan hijab, insan ini telah diuji dengan kehilangan ibunya yang tersayang. Pada ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa jauh dirinya dengan dunia ini. Ibu yang menjadi tempat untuk bermanja telah meninggalkannya selama-lamanya. Baginya ini adalah ujian dan ujian ini hanya untuk orang-orang yang Allah pilih. Pada suatu hari, insan ini mengenali seorang rakan atlet yang ala-ala “tomboy” dan disebalik wataknya yang begitu, rakannya itu sebenarnya mempunyai sebuah cerita tragis iaitu dengan kehilangan seluruh ahli keluarga dan beberapa saudara-mara yang ketika itu menghantar rombongan kahwin abangnya dengan menaiki sebuah bas. Bagi insan ini, ada orang yang lebih hebat ujian yang ditakdirkan berbanding dirinya dan disaat ini dia mula bersyukur kerana Allah masih mengurniakan seorang Ayah yang penyayang dan ibu “kedua” yang sangat baik. Dia sering berdoa supaya Allah memberikan petunjuk kepadanya dan menempatkan dia dalam kalangan orang-orang yang soleh. Di zaman matrikulasi, beliau telah disapa oleh seorang pensyarah yang diibaratkan seperti seorang sahabat sehingga rumah pensyarahnya, rumahnya juga”, ceritaku.

“Perkenalan insan ini dengan pensyarahnya telah membukakan pintu hatinya untuk mengenakan sarung kaki dan tangan kerana baru dia tahu bahawa kain yang menutupi anggota itu juga merupakan sebahagian daripada aurat yang perlu dijaga. Apabila pertama kali diperkenalkan dengan tafsir surah An-Nas oleh pensyarahnya yang banyak menceritakan taktik-taktik dan ciri-ciri syaitan dalam menyesatkan anak-anak adam, hatinya bagaikan dirobek  rasa bersalah yang amat. Perkataan ikhtilat (pergaulan antara lelaki perempuan) semuanya tidak diketahui. Alangkah sedihnya insan ini kerana kurangnya ilmu agama dalam dirinya. Pada malam itu juga, insan ini menangis semalaman untuk membuat keputusan yang tidak pernah terlintas dalam dirinya dengan memutuskan sebuah ikatan persahabatan dengan seorang lelaki yang banyak melalaikan dirinya . Satu kehilangan yang pada ketika itu sangat berat untuk dilakukan tetapi baginya hanya Allah yang ada sekarang ini. Ketika memasuki sebuah tempat Institusi Pengajian Awam, beliau bertemu dengan sahabat-sahabat yang banyak membimbing menuju jalanNya. Ketika ini baru dia tahu bertapa indahnya berhijab.. Bertapa indahnya islam menjaga wanita-wanita dengan menyuruh berpakaian dengan menutup aurat. Dan ketika inilah perjalanan hidup insan ini baru bermula..”, tambahku lagi.

“Sedihnya. Moga Allah memandu hati insan ini kejalanNYA. Bella, siapa insan ini???”, tanya Nisa

“Insan ini adalah seorang wanita yang berada dihadapan Nisa sekarang ini”, balasku dengan senyuman.

“Bella???? Kenapa Nisa tak tahu cerita Bella?”, tanya Nisa disertai butir-butir air dimatanya.

“ Tak semua benda boleh diceritakan kepada orang Nisa. Tapi, sekarang ni dah ceritakan?. InshaAllah setiap daripada kita ada ujiannya tersendiri dan Allah sebaik-baik tempat pengaduan”, balasku lagi

“Ok Nisa, jangan menangis macam budak-budak.. Ujian Allah itu sentiasa ada. Bersyukurlah kerana Allah masih memilih kita menghadapi setiap UjianNya kerana daripada ujian inilah kita sentiasa mengingatinya, Ok nisa!.

Sekarang ni nak masuk bulan Ramadankan?. Jom kita senaraikan agenda Ramadan kali ini. Moga Allah beri kesempatan untuk kita sama-sama bertemu pada bulan mulia ini, ramai kawan-kawan kita yang tidak sempat bertemu dengan Ramadan tahun ni”, tambahku lagi.

“Ok Bella.. Bella, moga kita sama-sama kuat menempuh kehidupan sementara ini. Moga Allah memilih kita memasuki syurga firdausiNya. Bella jangan pernah putus pengharapan dalam penghijrahan kerana Allah sentiasa bersamamu”, nasihat Nisa.

InshaAllah..Amin..

……………………………………………………………………………………………………….

“Dan kepada setiap jiwa diberi balasan dengan sempurna sesuai dengan apa yang telah dikerjakannya dan Dia lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan” ( Al-Zumar : 70 )

dw

NFN